Refleksi Diri - Nasimah binti Shamsuri (A166628)

Melalui projek ini, banyak ilmu yang telah saya peroleh dan berjaya praktikkan dalam kehidupan seharian. Antara elemen yang terpenting yang saya pelajari ialah kerjasama dalam kumpulan. Saya juga memahami kepentingan sikap toleransi dalam kumpulan. Walaupun pelbagai dugaan yang telah kami hadapi contohnya kertas kerja ditolak, kami masih bekerjasama memperbaiki segala kelemahan yang ada. Selain itu, komunikasi dalam kumpulan juga amatlah perlu diutamakan. Justeru itu, sesuatu projek seharusnya mempunyai organisasi yang baik agar komunikasi antara ahli kumpulan dapat berjalan lancar. Semasa projek dijalankan, saya juga dapat memerhati beberapa kekurangan dalam kumpulan kami seperti penyampaian mesej yang tidak jelas dan sebagainya. Namun, perkara tersebut dapat diatasi apabila kami melakukan diskusi secara berkumpulan dan merumuskan segala perkara yang telah dibincangkan.

Semasa program ini dilaksanakan, saya dapat merasakan bahawa skil komunikasi saya semakin berkembang. Hal ini kerana saya perlu berinteraksi dengan golongan yang menggunakan blog kami sebagai sumber pembelajaran mereka. Melalui itu, kami dapat mengetahui kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa. Pada mulanya, kami kurang peka dengan perkara-perkara yang perlu diketengahkan di dalam blog kami iaitu itsenglishtimeee.blogspot.com. Namun begitu, setelah mendapat maklum balas dari pelawat-pelawat blog kami, dari situ kami dapat menjana idea-idea yang bernas tentang topik yang perlu diketengahkan. Selain itu, kami juga dapat meningkatkan keyakinan diri dalam berinteraksi dengan orang luar. Hal ini kerana, sebelum ini saya tidak berpeluang untuk berinteraksi dengan orang ramai kerana saya khuatir saya akan melakukan kesalahan dalam pertuturan saya. Namun dengan adanya projek ini, saya dapat meningkatkan potensi diri dalam berkomunikasi.

Akhir sekali, projek ini mencabar saya dalam melakukan sesuatu yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini. Sebagai contoh, pencarian dana yang dilakukan ketika Program Indahkan Bangi yang lepas. Bagi saya, perkara-perkara ini sedikit sebanyak dapat membentuk diri saya menjadi pelajar yang mahir dalam mengendalikan sesuatu program. Sebelum ini, saya hanyalah peserta dalam program-program yang dianjurkan oleh orang lain. Pada kali ini, saya berpeluang merasai sendiri menjadi ahli yang penting dalam sesebuah organisasi projek. Walaupun pada mulanya saya tidak mahir dalam mengendalikan projek, saya belajar daripada pensyarah penasihat, kerana setiap ulasan yang diberikan amatlah bermakna dan sarat dengan ilmu pengetahuan. Sebagai pengakhir kata, kursus Pembangunan Diri membantu saya dari pelbagai aspek serta meningkatkan potensi diri saya dari seorang pelajar yang agak pasif kepada seseorang yang semakin proaktif.

Comments